BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 31 Julai 2011

KELUARGA BOLA SEPAK PEREMPUAN - UNIK DAN MENARIK

Mungkin ramai yang tidak sedar, pasukan bola sepak perempuan SMK Taman Tuanku Jaafar menghimpunkan sekumpulan pemain yang mempunyai ikatan persaudaraan. Uniknya, mereka terdiri dari adik beradik serta pasangan kembar yang sama hebat. Bukan setakat 2 beradik tetapi 3 beradik yang sama-sama meminati sukan yang sama. Kakak dan adik sama-sama tangkas dan hebat di tengah padang. Mungkin inilah bakat yang diwarisi dari ibu dan bapa yang diteruskan oleh anak-anak malah ibu bapa mereka sendiri tidak pernah menghalang, malah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap minat anak-anak mereka ini biar pon setiap hari ada saja pasu di rumah yang pecah akibat terkena bola yang disepak anak-anak gadis ini.

Mereka tidak memilih untuk bermain bola jaring atau mana-mana permainan yang dimainkan oleh golongan gadis seusia mereka, tapi memilih untuk bermain sukan lasak yang dimainkan oleh golongan lelaki. Biar retak tempurung lutut, biar patah tulang kaki, inilah risiko besar yang berani mereka hadapi tatkala memilih untuk serius dalam sukan ini.


Kembar seiras - Nur Aqidah Amran ( adik ) dan Nur Aqila Amran ( kakak ). Mempunyai personaliti yang berbeza, seorang kelihatan lebih keras dan seorang lagi lebih meminati bidang kecantikan.




3 beradik dalam pasukan bola sepak perempuan SMK Taman Tuanku Jaafar.. Nur Bazilah Amran ( tengah ) diapit kakak-kakak kembar.





Rezeki berpihak pada si kakak - Nur Aqila Amran  dan adik bongsu - Nur Bazilah Amran yang terpilih ke Kejohanan Piala Gothia 2011 di Sweden. Namun, Nur Aqidah Amran tidak pernah mencemburui mereka, malah terus memberikan sokongan, turun membuat latihan bersama serta mengiringi perjalanan pergi dan pulang adik dan kakaknya. Sudah pasti tempoh 10 hari kehilangan kakak dan adiknya ke Sweden membuatkan dia terasa kesunyian yang teramat.





Pasangan adik beradik yang memiliki bakat bermain bola sepak - Nur Iman Iwana Izah bt Zairi ( kakak ) dan Nur Atikah Zulaikha bt Zairi ( adik ). Mempunyai penampilan dan susuk tubuh badan yang kecil namun memiliki semangat bermain bola sepak yang cukup besar. Siapa sangka, kesemua adik beradik perempuan dalam keluarga ini meminati permainan bola sepak malah terlibat aktif sebagai atlit mewakili sekolah bagi acara olahraga.



Jika masih ingat, pada tahun 2010, kakak sulung mereka iaitu Nur Fatin Afrina bt Zairi pernah menyarung jersi bola sepak mewakili Malaysia ke Program Pertukaran Pemain Bola Sepak Perempuan ke USA. Kerana itulah, beliau sentiasa bersama-sama adik-adiknya memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.




Nur Fatin Afrina bt Zairi sewaktu mewakili Malaysia ke USA tahun 2010.



Mana tahu lepas ni, akan wujud lagi pasangan adik-beradik dalam pasukan bola sepak SMK Taman Tuanku Jaafar. Fakta yang lebih menarik, ibu mereka turut menjadi penyokong utama penglibatan mereka dalam permainan bola sepak. Anda perlu tahu, ada dikalangan pemain dalam pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar ini yang mempunyai ibu yang merupakan bekas pemain bola sepak perempuan Negeri Sembilan dan ada juga ibu yang terlibat aktif sebagai pemain futsal perempuan di Negeri Sembilan.

Hebatkan... !!!


Sabtu, 30 Julai 2011

PERJUMPAAN BERSAMA PENGARAH PELAJARAN NEGERI SEMBILAN

JUMAAT, 29 JULAI 2011 - Bertempat diperkarangan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan ( JPNS ), telah berlangsung Majlis yang diadakan khusus bagi mempertemukan pasukan TTJ FC yang baru pulang dari Sweden dengan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Tuan Abdul Halim bin Abdul Razak. Majlis yang berlangsung sekitar jam 5.00 petang itu turut dihadiri oleh Pegawai-pegawai dari Unit sukan JPNS, En. Aminudin bin Kamarudin dari SKF Bearing Sdn Bhd, Tuan Omar bin Ahmad Pengetua SMK Taman Tuanku Jaafar, Pengurus serta yang diraikan 16 orang pemain pasukan TTJ FC.

Pasukan TTJ FC berlepas dari sekolah jam 2.45 petang dengan menaiki van sekolah yang disewa khas. Namun kami dimaklumkan bahawa majlis pertemuan yang dijadualkan bermula jam 3.00 petang ditunda waktunya kepada jam 5.00 petang. dan tepat jam 5.00 petang, majlis bermula dengan ucapan aluan dari Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan ucapan dari En. Aminudin dari SKF Bearing Sdn Bhd. Dalam ucapan itu, beliau telah memberikan menerangan secara ringkas berkaitan sejarah Piala Gothia di Negeri Sembilan yang bermula sejak tahun 2007 sehingga ke tahun ini. Beliau turut mengulas serba sedikit berkaitan pengalaman membawa pasukan TTJ FC ke Sweden dan turut memberikan pujian terhadap tahap disiplin pasukan.

Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah Pelajaran N. Sembilan iaitu Tuan Abdul Halim. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa kagum dan gembira dengan semangat dan bakat yang dimiliki oleh pasukan TTJ FC dalam menghadapi kejohanan Piala Gothia ini. Beliau turut menyampaikan Diploma Gothia Cup 2011 kepada 16 orang pemain TTJ FC. Beliau turut menyampaikan cenderamata penghargaan dari JPNS kepada En. Aminudin selaku wakil dari SKF Bearing Sdn Bhd dan Tuan Omar bin Ahmad, Pengetua SMKTTJ.

Jamuan minum petang pula bertemakan pra-hari raya dimana tetamu dihidangkan dengan menu nasi impit, kuah kacang, rendang ayam dan bihun goreng disamping buah-buahan dan kuih muih. Sebelum majlis berakhir, Tuan Pengarah sudi meluangkan masa bergambar kenangan bersama pasukan TTJ FC dan pegawai-pegawai yang terlibat. Malah beliau sempat mengucapkan tahniah kepada seorang pemain TTJ FC iaitu Priya a/p Marappan yang telah terpilih mewakili Malaysia ke Program Pertukaran Pelajar Bola Sepak ke USA pada bulan Jun yang lalu. Hampir jam 6.30 petang, majlis berakhir dan pasukan TTJ FC berlepas pulang kembali ke sekolah.































Jumaat, 29 Julai 2011

RINGKASAN SEJARAH PIALA GOTHIA DI NEGERI SEMBILAN

Ramai yang bertanya dan ingin tahu... bagaimanakah pasukan bola sepak remaja perempuan SMK Taman Tuanku Jaafar telah erpilih mewakili MALAYSIA ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden. Memandnagkan sebelum ini, hanya pasukan bola sepak lelaki sahaja yang terpilih mewakili negara. Berikut merupakan serba ringkas sejarah Piala Gothia di Negeri Sembilan ( dipetik dari Buku Atucara Kejohanan Piala Gothia Remaja Perempuan 2011 Anjuran Bersama Majlis Sukan Negeri Sembilan dan SKF Bearing Nilai )


Mulai tahun 2007, pihak SKF, Nilai telah bekerjasama dengan Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan menganjurkan Kejohanan Piala Gothia. Sebelum ini pihak SKF Malaysia yang berpengkalan di Nilai, Negeri Sembilan telah memilih pasukan International School Kuala Lumpur sebagai wakil Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden tiap-tiap tahun.

Memandangkan wakil pasukan dari International School Kuala Lumpur itu tidak ramai wakil rakyat tempatan yang mewakili pasukan ke Sweden kerana ramai pelajarnya terdiri dari warga asing. Justeru itu pihak SKF telah sedar dan membuat ketetapan akan menganjurkan Pertandingan Piala Gothia diadakan di Negeri Sembilan supaya ramai anak watan Negeri Sembilan berpeluang mencari pengalaman bermain bola sepak di luar negara.

Tahun 2007, dengan bermodalkan RM 25,000.00 pihak SKF dengan kerjasama dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah menganjurkan Kejohanan Piala Gothia untuk memilih pasukan untuk mewakili negara ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden. Di dalam kejohanan tersebut,  pasukan akademi bola sepak Negeri Sembilan yang berada di SMK Seri Ampangan telah menjadi johan dengan mengalahkan pasukan International School Kuala Lumpur dalam perlawanan akhir dan seterusnya mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden.

Tahun 2008 juga pihak SKF dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dengan kos penganjuran RM 25,000.00 telah mengadakan Kejohanan Piala Gothia Kali Ke-2. Dalam pertandingan itu Sekolah Pusat Latihan Daerah iaitu SMK Tuanku Ampuan Durah telah berjaya sebagai Johan dan mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden.

Tahun 2009, oleh sebab kegawatan ekonomi dunia, pihak SKF telah mengambil tindakan dengan mengurangkan kos kejohanan ke RM 10,000.00 sahaja untuk menaja pertandingan tersebut. Oleh itu, hasil perbincangan bersama pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah memutuskan kejohanan kali ini akan berbentuk perlawanan 7 sebelah dan dipertandingkan mengikut jumlah daerah dan pemain akan dipilih untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden.

Tahun 2010 pula, pihak SKF telah mengikut takwim MSSMNS yang mengadakan perlawanan antara wakil PPD memandangkan keadaan kos yang meruncing pada masa itu. Oleh itu, setiap satu sekolah di dalam PPD telah dipilih untuk mewakili PPD mereka masing-masing. Pasukan dibahagikan kepada 2 kumpulan dan pertandingan dijalankan secara Liga satu pusingan dan seterusnya ke peringkat separuh akhir iaitu kalah mati.

Bagi tahun 2011pula, selepas 4 tahun menghantar pemain lelaki, pihak SKF Nilai telah menukar haluan pula bagi membangunkan bola sepak wanita dengan menghantar pasukan wanita bawah 15 tahun. Ini kerana selepas 4 tahun mengawal tingkahlaku pemain lelaki dengan pencapaian yang sama selama 4 tahun, SKF Nilai berubah angin untuk mencuba nasib dengan menghantar pasukan wanita bawah 15 tahun ke Kejohanan Piala Gothia 2011. Pasukan wanita ini akan dipilih melalui Program Akar Umbi Wanita Remaja FAM yang banyak berpengkalan di sekitar Seremban.

 Oleh itu, beberapa sekolah telah dikenalpasti dan pihak SKF akan menilai pasukan yang menjadi Juara akan layak ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden. Pihak Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan akan mencari 8 sekolah yang mempunyai pasukan bola sepak wanita untuk bertanding dalam 2 kumpulan dan pertandingan dijalankan secara liga satu pusingan dan seterusnya ke peringkat separuh akhir iaitu kalah mati. Berdasarkan pertandingan tersebut, pasukan bola sepak perempuan SMK Taman Tuanku Jaafar telah menewaskan pasukan Sekolah Sukan Negeri Sembilan ( SMK Za'aba ) dengan jaringan 5-0. Justeru itu, pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar telah dipilih untuk mewakili Malaysiake Kejohanan Piala Gothia di Gothenburg, Sweden pada 16 Julai hingga 25 Julai 2011.




Untuk mengetahui pasukan dari sekolah di Negeri Sembilan yang pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia di Sweden, sila layari :

http://rembaunews.blogspot.com/2010/07/rembau-fc-wakil-malaysia-di-kejohanan.html

http://semendakota.blogspot.com/2010/07/pemain-bola-sepak-semenda-ke-piala.html


Khamis, 28 Julai 2011

LAGU RASMI KEJOHANAN PIALA GOTHIA, SWEDEN 2011


Pastinya lagu ini yang paling dirindui oleh pasukan TTJ FC sekembalinya mereka semula ke tanahair. Setelah 10 hari berada dalam kehidupan baru yang sunggu berbeza, tatkala diri sudah mula dapat membiasakan dengan persekitaran baru terpaksa akur dengan panggilan pulang semula ke tanahair.



 
Apapun, tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan TTJ FC yang mewakili Negeri Sembilan dan Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia 2011 di Gothenburg, Sweden.

Selasa, 26 Julai 2011

DIARI TTJ FC DI KEJOHANAN PIALA GOTHIA 2011, GOTHENBURG, SWEDEN

10 hari berada di negara asing merupakan pengalaman yang cukup bermakna buat 16 orang pelajar SMKTTJ yang terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia 2011 di Gothernburg, Sweden. Pastinya perasaan bercampur baur tatkala kaki melangkah meninggalkan tanahair.. berjauhan dari keluarga dan rakan-rakan karib di sekolah, meninggalkan sesi pembelajaran di sekolah, membiasakan diri untuk hidup dalam budaya dan suasana yang baru tambahan lagi di bahu tergalas harapan yang cukup besar. Mereka pergi bukan atas tiket percuma, tapi harapan yang digalas itu membawa nama SMKTTJ  dan untuk memartabatkan sukan bola sepak perempuan ke persada dunia. Inilah pengorbanan yang harus dipikul oleh mereka tatkala usia masih muda.

Pasukan TTJ FC berlepas meninggalkan tanahair pada 15.07.2011 ( Sabtu ) dengan menaiki penerbangan dari KLIA  menuju ke beberapa destinasi iaitu Bangkok, Thailand dan Frankfurt, Jerman sebelum mendarat di Gothenburg ( Goteborg ), Sweden. Mereka selamat tiba pad 17.07.2011 ( Ahad ) lebih kurang jam 1.30 petang ( waktu Malaysia 6.30 petang ). Ternyata tempoh penerbangan yang  cukup lama, membuatkan mereka kelihatan sangat letih dan lesu ditambah lagi dengan keadaan yang cukup sejuk. Berdasarkan undian, TTJ FC berada dalam kumpulan 22 dalam senarai pasukan perempuan bawah 15 tahun.






 
18.07.2011 ( Isnin ), selepas bersarapan pagi, jurulatih pasukan Mr. SAM memberi taklimat berkaitan strategi permainan kepada pasukan TTJ FC sebelum bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan yang pertama menentang Pasukan Norrkopping City DFF, Sweden.Tambah menarik, kem TTJ FC turut dilawati oleh Pegawai dari SKF Bearing, Sweden iaitu Mr. Larsberglie dan isteri yang mana beliau pernah datang ke SMKTTJ memberi taklimat awal sebelum berangkat ke Sweden pada bulan April 2011 yang lalu. Pasukan TTJ FC( biru ) bertolak ke lokasi perlawanan iaitu Valen 4 dan perlawanan menentang Norrkoping City DFF ( merah ) berlangsung pada jam 4.00 ptg ( Malaysia : 10.00 malam ). Jam 8.00 malam ( Malaysia : 2.00 pagi ), Majlis Perasmian Piala Gothia 2011 berlangsung dengan penuh gilang gemilang di Stadium NyaUllevi. Pada waktu ini, walaupun jam menunjukkan jam 8.00 malam, tapi suasana masih lagi kelihatan terang dengan cahaya matahari yang masih memancar. Stadium dipenuhi dengan puluhan ribu penonton yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Dengan penyertaan sebanyak 1570 buah pasukan dari 73 buah negara dari seluruh dunia menjadikan Kejohanan Piala Gothia 2011 kali ini mencipta sejarah dengan penyertaan pasukan yang terbanyak sejak Piala Gothia ini dipertandingkan. Tambah menarik, TTJ FC berkesempatan bertemu dengan Y.B. DATO' SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN yang turut berada di sana menyaksikan kejohanan ini.




















19.07.2011 ( Selasa ) - Pasukan TTJ FC dibawa melawat dan bersiar-siar di sekitar bandar sebelum perlawanan kedua bermula. Jam 3.00 petang ( Malaysia : 9.00 mlm ) perlawanan kedua TTJ FC ( putih ) menentang Ska IK 2, Sweden ( kuning ) bertempat di Valen 2. Ternyata perbezaan saiz tubuh badan yang sangat ketara di antara TTJ FC dengan  pasukan lawan. Namun, TTJ FC tetap memberi persaingat yang cukup hebat kepada pasukan lawan.










20.07.2011 ( Rabu ) - Masuk hari ketiga, perlawanan dimulakan seawal jam 1.50 ptg ( Malaysia : 7.50 mlm ) bertempat di Ruddalen 2 dimana TTJ FC ( merah ) menentang pasukan Storfors AIK, Sweden ( biru ). Setelah perlawanan, TTJ FC dibawa menaiki feri untuk bersiar-siar di sekitar pulau.









21.07.2011 ( Khamis ) - Kem TTJ FC dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan bahawa mereka terpaksa menghadapi satu lagi perlawanan menentang pasukan Remsle UIF ( merah ) dari kumpulan 23 jam 8.00 pagi ( Malaysia : 2.00 ptg ) di Aby 1. Selesai perlawanan, TTJ FC dibawa bersiar-siar sekeliling bandar dan ke taman tema permainan.













 
22.07.2011 ( Jumaat ) - Hari seterusnya, TTJ FC dibawa  bersiar-siar di sekitar bandar serta membeli belah pelbagai cenderamata dan mereka turut membeli belah pelbagai jenis t-shirt dan kasut untuk dibawa pulang ke tanahair. Paling menarik, TTJ FC turut mempersembahkan tarian 'Chicken Dance' untuk tontonan ramai dan tarian ini telah menarik perhatian ramai orang dan menjadi ikutan sejak dipertontonkan













 
23.07.2011 ( Sabtu ) - TTJ FC menerima jemputan untuk makan tengahari di rumah Puan Iera seorang rakyat Malaysia yang telah menetap di Gothenburg. Menu nasi ayam yang disediakan oleh  beliau membuatkan team TTJ FC terasa seperti berada di  negara sendiri. Terubatlah seketikan rindu pada keenakan makanan di tanahair setelah berhari-hari menjamah roti, cheese, maggi dan biskut. Kesempatan yang ada juga digunakan untuk melayari internet dan berhubung dengan keluarga di tanahair. Pada hari yang sama juga TTJ FC berpeluang menonton perlawanan akhir Piala Gothia 2011 bertempat di stadium utama.













24.07.2011 ( Ahad ) - TTJ FC bersiap sedia mengemas segala barang untuk persediaan sebelum berangkat pulang ke tanahair. Perasaan sedih dan hiba untuk meninggalkan bumi Gothernburg, Sweden yang telah menjadi rumah sementara selama 10 hari. Tambah sedih apabila terpaksa meninggalkan kawan-kawan baru dari negara lain terutama dari negara Zambia yang telah menjadi teman karib semenjak tiba di Gothernburg. TTJ FC menjadi pasukan yang terakhir dalam blok kediaman mereka yang meninggalkan perkampungan sukan untuk terbang pulang ke tanahair.














25.07.2011 ( Isnin ) - TTJ FC telah selamat mendarat di KLIA sekitar jam 6.00 petang. Sehingga jam 7.00 malam, barulah kelibat mereka muncul di balai ketibaan disambut oleh keluarga masing-masing. Seterusnya, bas dari JPN Negeri Sembilan yang telah sedia menunggu, membawa pasukan ini pulang semula ke SMKTTJ di mana Tuan Pengetua, Pen. Kanan, guru dan ibu bapa telah menanti sejak jam 8.00 malam lagi. Hampir jam 9.00 malam bas ini tiba diperkarangan sekolah. Walaupon kelihatan letih, TTJ FC kelihatan begitu gembira tatkala bertemu semula dengan keluarga dan tidak sabar untuk pulang menikmati hidangan yang disediakan ibu masing-masing. 






























Namun jauh disudut hati, rasa rindu pada pengalaman dan kenangan di Gothernburg, Sweden masih terbuku di dalam hati dan pasti kenangan ini tidak dapat diulang lagi. Pengalaman bermain dengan pelbagai pasukan lawan akan menjadikan TTJ FC lebih berpengalaman dan pastinya ini akan dijadikan pendorong untuk TTJ FC terus mempamerkan persembahan yang terbaik di tanahair sendiri.











DALAM KENANGAN..