BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 20 Mei 2012

Kejohanan FUTSAL Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan 2012 - Sempena Hari Belia Negeri Sembilan 2012

Mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan lagi prestasi permainan, barisan pemain pasukan bola sepak perempuan sekolah menubuhkan sendiri pasukan futsal bagi tujuan mengambil bahagian dalam Kejohanan Futsal Piala Menteri Besar N.Sembilan 2012 sempena Hari Belia Negeri Sembilan 2012. Kejohanan yang berlangsung pada hari Ahad ( 20.05.2012 ) ini menawarkan ganjaran kemenangan yang lumayan serta peluang mempamerkan kehebatan pasukan ini dikalangan masyarakat dari seluruh pelusuk negeri.

Membawa nama pasukan MALAYSIA GRASSROOT FC dan dibarisi oleh seramai 7 orang pemain dari SMKTTJ serta seorang lagi pemain dari Kuala Pilah, pasukan ini diletakkan dalam kumpulan D untuk menentang 3 buah pasukan lagi. Keputusan perlawanan pusingan pertama :

Malaysia Grassroot FC ( 3 ) vs Betaria FC ( 2 )
Malaysia Grassroot FC ( 3 ) vs  REM B FC ( 0 )
REM B FC menarik diri sekaligus Malaysia Grassroot FC menang
Malaysia Grassroot FC ( 1 ) vs  PPFC A ( 3 )

Pasukan ini muncul sebagai Naib Johan Kumpulan D dan seterusnya menempatkan pasukan ke dalam 8 kumpulan yang layak ke Pusingan 2 ( kalah mati ). Dalam pusingan kedua ini, keputusan terus memihak pada pasukan iaitu :

Malaysia Grassroot FC ( 3 ) vs Sayang FC ( 1 )

Pasukan Malaysia Grassroot FC seterusnya melayakkan diri ke Separuh Akhir dan bertemu pasukan Marble FC. Namun demikian, pasukan ini tewas dengan jaringan 0-1. Hasil kiraan mata pasukan ini perlu bertemu kembali dengan Johan Kumpulan D iaitu PPFC A untuk melayakkan diri ke Pusingan Akhir, namun kerana kesuntukan masa, undian secara melambung duit syiling telah dijalankan. Ternyata nasib tidak memihak kepada pasukan ini dan akhirnya mereka akur untuk menduduki tempat ke-4.

Semangat juang yang begitu kental telah ditunjukkan sepanjang kejohanan ini bermula dari jam 8.30 pagi sehingga jam 5.30 petang. Walaupun pasukan ini dibarisi oleh pelajar-pelajar sekolah yang begitu muda berbanding pasukan lain yang terdiri dari pasukan futsal yang yang hebat dan terkenal, namun mereka dapat memberikan tentangan serta mendapat sokongan padu dari para penyokong di segenap gelanggang.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Besar N. Sembilan iaitu YAB Dato' Seri Utama Mohammad Haji Hassan dan pasukan ini telah membawa pulang hadiah wang tunai RM500, medal dan sijil penyertaan. Dengan penyertaan ini, sekali lagi nama sekolah telah dikenali kerana rata-rata penonton yang hadir melahirkan rasa kagum dengan gaya pemainan yang ditunjukkan oleh para pemain ini.