BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 28 Ogos 2011

LATIHAN SEPANJANG BULAN RAMADHAN..

Kehadiran bulan Ramadhan bukan penghalang kepada pasukan bola sepak remaja perempuan SMKTTJ untuk meneruskan sesi latihan seperti biasa. Cuma bezanya, corak latihan lebih mengutamakan latihan ringan bagi memastikan setiap pemain dapat mengekalkan stamina dan  kecergasan. Dengan tempoh latihan selama 1 jam bagi setiap sesi, ini merupakan salah satu persediaan bagi pasukan sekolah yang baru pulang dari Kejohanan Piala Gothia 2011 di Sweden untuk menghadapi perlawanan persahabatan seterusnya pada 17 September 2011 ( Sabtu ) yang akan datang.

Sepanjang tempoh ini, para pemain mengalami keletihan dalam menjalani ibadah berpuasa serta dalam masa yang sama Peperiksaan Percubaan PMR turut berlangsung, namun para pemain menunjukkan komitmen dan semangat yang baik. Walaupun pada awalnya, kehadiran pemain adalah kurang memberangsangkan, tetapi sokongan yang diberikan oleh COACH serta pihak pengurusan pasukan telah berjaya membawa pasukan kembali bersemangat dan kehadiran untuk sesi latihan semakin baik.






Rabu, 10 Ogos 2011

MESYUARAT PEMBANGUNAN SUKAN SMK TAMAN TUANKU JAAFAR

Tarikh   :    10hb Ogos 2011
Tempat   :    Balai Konferensi, SMK Taman Tuanku Jaafar
Masa   :   12.00 tengahari


Mesyuarat Pembangunan Sukan SMK Taman Tuanku Jaafar telah dijalankan dimana ia dihadiri oleh Tuan Pengetua - Tuan Omar bin Ahmad, Penolong Kanan Kokurikulum -Pn. Hjh. Zainab bt Nasir dan barisan guru-guru penasihat beberapa sukan dan permainan di SMK Taman Tuanku Jaafar.

Mesyuarat ini diadakan khusus bagi membincangkan program yang dirancang bagi membangunkan beberapa sukan yang berpotensi besar untuk dipertingkatkan pencapaian sehingga ke peringkat antarabangsa. Antara sukan dan permainan yang dipilih adalah Bola Sepak Lelaki dan Perempuan, Bola Baling, Olahraga dan Softball. Dalam mesyuarat ini, kesemua barisan guru penasihat bola sepak perempuan iaitu Pn M. Moganambal, Pn. Siti Khatijah Ramli, Pn. Yusrina Hanim Mohd Yunus, Cik Siti Nur Atikah Abdul Padzil dan Cik Nur Zafirah Shafie turut hadir.

Melalui mesyuarat ini juga, Tuan Pengetua telah menzahirkan harapan yang sangat tinggi terhadap pasukan bola sepak perempuan dan mahukan pasukan ini berkembang serta terus mencapai kejayaan. Beliau turut memberikan sokongan yang cukup kuat kepada barisan pengurusan pasukan dan mencadangkan beberapa program tambahan bagi meningkatkan pencapaian pasukan pada masa akan datang.  

Beberapa program telah dirancang untuk diadakan. Diantaranya adalah Talent ID – Futsal ( Sekolah Rendah,  Pertandingan Futsal Peringkat Sekolah, Perlawanan Bola Sepak Persahabatan Sekolah-sekolah Jemputan, Lawatan / Suai Mesra- Luar Negara, Pembangunan Akademik dan Stamina, Program Ramah Mesra Bersama Skuad Negeri Sembilan dan Kelas Projek Bola Sepak.

Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Perempuan SMKTTJ juga telah ditubuhkan seperti berikut :

JAWATANKUASA KERJA

Pengerusi : Tuan Omar bin Ahmad ( Pengetua )
Naib Pengerusi : Puan Hjh. Zainab bt Mohd Nasir ( GPK Koko )
Penyelaras : Puan Moganambal a/p Munusamy
Penyelaras : Puan Siti Khatijah bt Ramli
Setiausaha : Puan Yusrina Hanim bt Mohd Yunus
Pen. Setiausaha : Cik Siti Nurul Atikah bt Abdul Padzil
Bendahari : Cik Nur Zafirah bt Shafie
Jurulatih : Encik Smith M. Ampuling
Pen. Jurulatih : Puan Zhang

Jawatankuasa Kecil :

Kebajikan : Puan Moganambal a/p Munusamy
Fizikal Instructor / Fitness  : Puan Siti Khatijah bt Ramli
Blog / Dokumentasi / Foto : Puan Yusrina Hanim bt Mohd Yunus
Latihan : Cik Siti Nurul Atikah bt Abdul Padzil
Akademik : Cik Nur Zafirah bt Shafie


Selasa, 2 Ogos 2011

PENYAMPAIAN DIPLOMA PIALA GOTHIA 2011

Majlis Penyampaian Diploma Piala Gothia, Sweden 2011 telah dijalankan pada 1 Julai 2011 ( Isnin ) pada perhimpunan pagi Isnin dihadapan seluruh warga SMK Taman Tuanku Jaafar. Tuan Pengetua, Tuan Omar bin Ahmad telah menyampaikan diploma kepada 7 orang pemain yang telah mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia, Sweden. Ini berikutan, hanya seramai 7 orang sahaja pemain yang belajar pada sesi pagi ( Tingkatan 3 dan 4 ) manakala 9 orang yang lain adalah pelajar sesi petang ( Tingkatan 1 dan 2 ).

Diantara ucapan yang disampaikan oleh Pengurus Pasukan - Puan M.Moganambal mewakili pasukan TTJ FC :
" .... Seperti yang kita semua sedia maklum, pasukan bola sepak remaja perempuan SMK Taman Tuanku Jaafar telah menyertai Kejohanan Piala Gothia 2011 bertempat di Gothenburg, Sweden pada 16 hingga 25 Julai 2011. Kejohanan yang berlangsung selama 7 hari itu telah mencatat sejarah dengan pernyertaan pasukan yang terbanyak semenjak Piala Gothia dipertandingkan iaitu sebanyak 1570 buah pasukan dari 73 buah negara dari seluruh dunia.


Pasukan TTJ FC bertolak dari KLIA pada jam 9.30 malam dan telah bertukar penerbangan di beberapa buah negara iaitu Bangkok Thailand dan Franfurt, Jerman sebelum sampai di Gothenburg, Sweden pada jam 1.30 tengahari waktu di Sweden. Kami telah melalui perjalanan lebih dari 14 jam dan suhu yang berubah-ubah sehingga 14 darjah celcius membuatkan beberapa orang pemain mula kurang sihat. Pasukan TTJ FC telah diundi berada di dalam kumpulan ke 22 untuk kategori perempuan bawah 15 tahun bersama dengan 3 buah pasukan lagi dari Sweden. Untuk pengetahuan semua, untuk Kejohanan Piala Gothia ini, banyak kategori umur yang telah dipertandingkan iaitu bawah 12 tahun, 13 tahun, 14 tahun, 15 tahun, 17 tahun dan 18 tahun . Jadi pasukan TTJ FC yang bertanding di bawah kategori bawah 15 tahun telah berhadapan dengan pasukan lawan yang mana semua pemainnya berusia 15 tahun sedangkan pasukan TTJ FC hanya mempunyai 7 orang pemain yang berusia 15 – 16 tahun manakala 9 orang pemain lagi baru berusia 13 – 14 tahun.


Pasukan TTJ FC telah menghadapi 4 perlawanan dalam tempoh 4 hari dan tidak mencapai kejayaan dalam kesemua perlawanan. Antara faktor adalah disebabkan perbezaan saiz badan dan usia yang sangat ketara,factor cuaca yang sejuk membuatkan pemain diserang demam dan selsema serta kehadiran penyokong tuan rumah yang sangat ramai membuatkan pemain berasa agak tertekan. Namun demikian, pasukan TTJ FC telah bermain dengan hebat dan tidak memberikan kemenangan mudah kepada pihak lawan. Kami juga berpeluang menjaringkan banyak gol, tetapi mungkin rezeki tidak berpihak kepada pasukan TTJ FC untuk kali ini.

Untuk pengetahuan semua, pasukan TTJ FC merupakan pasukan bola sepak perempuan yang pertama yang menyertai Kejohanan Piala Gothia di Sweden ini. Sebelum ini, selama 4 tahun SKF Bearing telah menaja untuk mebawa pasukan bola sepak lelaki, tetapi tahun ini mereka telah berubah angin dengan memilih untuk membawa pasukan bola sepak perempuan pula. Sepanjuang berada di sana juga, pasukan TTJ FC telah mengamalkan disiplin yang baik dan ini diakui sendiri oleh Pegawai dari syarikat penaja serta TTJ FC menjadi pasukan kegemaran dan disenangi oleh banyak negara. Jadi tidak hairan, ramai pasukan dari negara lain yang menanti kehadiran pasukan TTJ FC dan ada yang mengalirkan air mata ketika TTJ FC berangkat pulang ke tanahair.

Pengalaman yang kami perolehi sepanjang berada di sana adalah sangat berharga. Kami percaya banyak pihak telah merestui perjalanan kami ke sana dan mendoakan kesejahteraan kami sehingga kami pulang semula ke tanahair.


Dikesempatan ini juga, kami ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga buat semua warga sekolah SMK Taman Tuanku Jaafar terutama guru-guru dan rakan-rakan pelajar yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami. Tidak dilupakan PIBG SMK Taman Tuanku Jaafar serta beberapa penaja lain yang telah membantu pasukan kami dengan memberikan penajaan kepada kami.... "

Dalam majlis ini juga, Tuan Pengetua turut menyampaikan cenderamata berupa replika bola sepak kepada Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Hjh Zainab bt Nasir selaku wakil bagi pihak sekolah. Cenderamata yang disampaikan oleh Tuan Pengetua ini adalah mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan dan Unit Sukan JPNS sebagai penghargaan JPNS kepada pasukan bola sepak perempuan SMK Taman Tuanku Jaafar yang telah mewakili negara ke peringkat antarabangsa.





gambar ihsan : lensasmkttj.blogspot.com