BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 22 September 2011

TALENT ID - PENCARIAN BAKAT MUDA PEMAIN BOLA SEPAK PEREMPUAN DARI SEKOLAH RENDAH

Syukur Alhamdullillah.. satu lagi program yang dirancang oleh Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Perempuan SMKTTJ iaitu Talent ID Sekolah Rendah telah selamat disempurnakan pada hari ini. Bertempat di padang SMKTTJ, sebanyak 3 buah pasukan dari SK Taman Tuanku Jaafar 2, SK Seremban Jaya dan SK (T) Rantau hadir memberikan sokongan kepada program yang dirancang. Program yang lahir dari cetusan idea Tuan Pengetua, Tuan Omar bin Ahmad ini  bermatlamat utama untuk mencari bakat muda pemain bola sepak berusia 12 tahun ( Darjah 6 ) dari sekolah-sekolah rendah yang berdekatan bertujuan untuk diserap masuk sebagai pemain dalam pasukan bola sepak perempuan SMKTTJ.

Urusan jemputan perlawanan telah diuruskan dalam tempoh sebulan sebelum tarikh perlawanan dijadualkan berlangsung. Tarikh perlawanan pula dipilih berikutan memberi laluan kepada peperiksaan UPSR dan dengan harapan, sekolah-sekolah yang dijemput mendapat masa yang secukupnya untuk menyediakan pasukan pemain bola sepak perempuan. Daripada 6 jemputan yang diberikan, hanya 3 jemputan yang dapat dipenuhi.  Walaupun demikian, kehadiran ketiga-tiga pasukan ini cukup bermakna dan program ini dapat dijalankan dan disudahkan dengan sempurna.

Setiap pasukan yang hadir terdiri dari 11 orang pemain bersama 2 orang pengurus pasukan. Pemain dicampurkan diantara pasukan yang yang ada bertujuan untuk melihat kemahiran mereka bermain seperti menendang, mengawal dan menjaringkan gol. Penilaian dan pemilihan pemain berbakat dibuat oleh 2 orang jurulatih dari Program Akar Umbi FAM iaitu Encik Sam dan Puan Zhang. Berdasarkan perlawanan yang berlangsung, seramai 15 orang pemain telah dikenalpasti berbakat dan berpotensi dalam permainan ini.

Jutaan terima kasih ditujukan kepada semua pihak yang telah membantu memastikan perjalanan program ini lancar. Juga setinggi penghargaan buat sekolah-sekolah yang menghantar pasukan iaitu SK Taman Tuanku Jaafar 2, SK Seremban Jaya dan SK (T) Rantau yang sudi meluangkan masa menjayakan program ini.
















Pasukan Bola Sepak Perempuan dari SK Seremban Jaya



Pasukan Bola Sepak Perempuan dari SK ( T ) Rantau




Pasukan Bola Sepak Perempuan dari SK Taman Tuanku Jaafar 2






0 ulasan: