BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 11 September 2011

PERTANDINGAN BOLA SEPAK PERSAHABATAN BERSAMA INTERNATIONAL SCHOOL KUALA LUMPUR ( ISKL )

Tarikh  :  10hb September 2011
Masa  : 4.00 petang - 8.00 malam
Tempat  :  Padang ISKL, Jalan Ampang, KL

Tahniah diucapkan kepada 12 orang pemain bola sepak perempuan dari SMK Taman Tuanku Jaafar yang telah terpilih untuk mewakili Negeri Sembilan dan Malaysia bagi Perlawanan Persahabatan menentang pasukan dari International School Kuala Lumpur. Perlawanan yang dirancang diadakan oleh Persatuan Bola Sepak Perempuan Negeri Sembilan ini bertujuan untuk memberikan latihan pemanas badan kepada para pemain. Seramai 12 orang pemain yang terpilih merupakan pemain dari SMK Taman Tuanku Jaafar manakala 2 orang pemain dari SMK Bukit Kepayang, Seremban 2 dan seorang lagi pemain dari SMK Bukit Bandaraya, KL bergabung dalam pasukan yang sama untuk menentang pasukan lawan yang terdiri daripada pemain-pemain bola sepak warga asing yang bersekolah di ISKL. Dengan bilangan pemain yang cukup ramai terpilih dari SMKTTJ, membuktikan bahawa, para pemain ini telah berjaya meletakkan diri mereka sebagai pemain yang berbakat.


Pemain bertolak dari Seremban pada jam 4.30 petang dan tiba di ISKL pada jam 6.15 petang. Perlawanan yang dijadualkan berlangsung tepat jam 6.00 petang terpaksa ditunda berikutan masalah kesesakan laluan lebuhraya menyebabkan lewat tiba. Permainan dimulakan lebih kurang jam 6.30 petang dan tamat hampir jam 8.00 malam.

Pasukan ini telah menentang pasukan ISKL 18 tahun dengan masa perlawanan yang ditetapkan selama 35 minit. Permainan sengit ditunjukkan oleh kedua-dua belah pihak, dan jelas sekali faktor perbezaan umur dan saiz badan  mempengaruhi corak permainan. Namun, jelas kematangan yang dipamerkan oleh para pemain yang kesemuanya berpengalaman bermain menentang pemain warga asing semasa di Kejohanan Piala Gothia, Sweden yang lepas. Pemain kelihatan lebih berani dan bijak membuat keputusan semasa bermain. Namun, diakui bahawa pasukan ISKL lebih hebat dari beberapa segi dan berjaya menewaskan pasukan Malaysia dengan jaringan 9-0.

Walaupun tewas, banyak pengalaman yang diperolehi oleh para pemain. Selain menjadi latihan pemanas badan, para pemain juga akan bersedia menghadapi perlawanan persahabatan yang akan berlangsung seminggu lagi. Pihak pengurusan dan kejurulatihan pasukan sentiasa memberi galakan yang tidak berbelah bagi kepada para pemain untuk mereka meningkatkan kemahiran serta membawa mereka ke peringkat yang tertinggi demi kejayaan dan masa depan mereka. Pihak pengurusan juga mahukan pasukan ini dikenali kerana mereka inilah yang akan membawa nama sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa.










Bangga melihat pemain dari SMKTTJ sudah mampu menyarung jersi skuad kebangsaan.




0 ulasan: