AHAD, 24 APRIL 2011 - Telah berlangsungnya Pertandingan Bola Sepak Perempuan Piala Gothia 2011 Peringkat Negeri Sembilan bertempat di Padang SMK KGV. Pertandingan tersebut bertujuan untuk mencari pasukan untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Gothia 2011 di Sweden pada bulan Julai akan datang. SMK Taman Tuanku Jaafar telah menghantar pasukan bola sepak remaja perempuan yang terdiri daripada 16 orang pemain ke pertandingan tersebut.
Pasukan bola sepak SMK Taman Tuanku Jaafar telah diundi untuk bertanding di dalam Kumpulan A di mana keputusan pertandingan adalah seperti berikut ;
SMKTTJ melawan SMK Bukit Kepayang 3 – 1
SMKTTJ melawan SMK Tuanku Ampuan Durah 4 – 0
SMKTTJ melawan SMK Seremban 2 4 – 0
Pasukan bola sepak SMK Taman Tuanku Jaafar telah berjaya memenangi semua perlawanan dan menjadi Johan Kumpulan A. Seterusnya, pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan bertemu dengan Naib Johan Kumpulan B iaitu SMK Tunku Muhammad, Kuala Pilah. Perlawanan di peringkat separuh akhir ini sangat sengit di mana, akhirnya kemenangan berpihak kepada pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar dengan keputusan 1 – 0.
Di peringkat akhir perlawanan, pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar telah bertemu dengan SMK Zaaba Kuala Pilah atau nama lainnya Sekolah Sukan Negeri Sembilan. Disinilah kehebatan pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar teruji apabila semua pemain bermain bermati-matian menggunakan seluruh tenaga dan pengalaman yang ada. Walaupun mendapat provokasi dan tekanan mental dari pihak lawan, pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar terus bertahan dan berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan yang cukup bergaya menewaskan SMK Zaaba dengan keputusan 5 – 0. Kegembiraan ini turut sama dirasakan apabila seleruh warga sekolah hadir memberi sokongan kepada pasukan sekolah dari awal pagi sehingga majlis berakhir sekitar jam 7.00 malam.
Hadiah telah disampaikan oleh Encik Aminudin bin Kamarudin, Pegawai dari SKF Bearing Sdn Bhd, Nilai yang menaja pertandingan ini serta pegawai-pegawai dari Unit Sukan JPNS. Johan menerima hadiah berupa medal bagi setiap pemain, piala iringan iaitu Piala Gothia 2011 beserta tiket penerbangan pergi dan balik ke SWEDEN tajaan daripada SKF Nilai, penginapan 11 hari 10 malam , dan makan minum pemain sepanjang berada di sana akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak SKF Nilai. Selain itu, setiap seorang pemain akan menerima 2 pasang jersi berjenama dari pihak penaja.
Antara faktor kejayaan yang dikecapi ini adalah kerana sokongan yang cukup hebat diberikan oleh seluruh warga SMK Taman Tuanku Jaafar. Jelas sekali, sepanjang perlawanan berlangsung Tuan Pengetua, guru-guru serta para pelajar yang hadir adalah antara penyuntik semangat bagi pasukan SMK Taman Tuanku Jaafar untuk terus berjuang dan senantiasa berada di samping kami memberi sokongan dan sorakan tanpa henti dan kemenangan ini adalah hadiah kepada seluruh warga sekolah. Semoga pasukan bola sepak remaja perempuan SMK Taman Tuanku Jaafar akan terus cemerlang dan seluruh warga sekolah akan senantiasa mendoakan semoga perjalanan ke SWEDEN pada bulan Julai nanti akan dapat menjulang nama baik SMK Taman Tuanku Jaafar ke persada dunia.
0 ulasan:
Catat Ulasan