BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 31 Oktober 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN - PROGRAM AKAR UMBI FAM vs WESTERN AUSTRALIA

Seperti yang telah dirancang, perlawanan persahabatan bagi para pemain dari Program Akar Umbi FAM bersama dengan pemain negeri dari pasukan Western Australia ( Perth ) telah berlangsung dengan cukup meriah di padang SMKTTJ. 16 orang pemain dipilih dari Program Akar Umbi FAM dimana seramai 12 orang pemain SMKTTJ telah terpilih mewakili pasukan. Ini jelas membuktikan pasukan bola sepak perempuan kita mempunyai potensi dan bakat yang cukup besar dalam permainan ini. 4 orang pemain lagi dipilih dari 2 buah sekolah di bawah program yang sama iaitu SMK Bukit Kepayang ( 2 orang ) dan SMK Kompleks KLIA ( 2 orang )

Persiapan menanti kehadiran pasukan Pemain Negeri Bawah 15 Tahun dari Australia ini telah dilakukan lebih awal. Jadi, tidak hairanlah kehadiran mereka menjejakkan kaki ke SMKTTJ disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar dari pintu pagar sekolah. Ketibaan mereka pada jam 1.30 tengahari telah disambut di pintu masuk sekolah oleh Tuan Pengetua, Tuan Omar bin Ahmad, GPK Akademik, En. Akashah bin Ismail dan Pengurus Pasukan, Pn. Moganambal dan kemudian tetamu ini dibawa masuk ke Balai Konferensi SMKTTJ untuk sesi perkenalan dan suaikenal. 

Ternyata, wujud perasaan kagum dan teruja di kalangan pelawat ini apabila melihat sambutan meriah yang diberikan kepada mereka. Seramai hampir 30 orang tetamu yang hadir termasuk 14 orang pemain, 3 orang pengurusan pasukan manakala yang selebihnya adalah para ibu bapa dan keluarga pada pemain yang turut hadir untuk sama-sama menyaksikan perlawanan ini. Malah ahli keluarga mereka sendiri dimaklumlah dengan rela hati mengeluarkan wang sendiri bagi mengikuti pasukan ini untuk menghadapi perlawanan di Malaysia dan Singapura. Masing-masing melahirkan rasa gembira dan tidak putus-putus merakamkan gambar-gambar para pemain serta turut berkesempatan merakamkan gambar-gambar persekitaran sekolah. Setelah sesi perkenalan secara tidak rasmi dimulakan, para pemain dibawa keluar ke Dataran Cendiakawan untuk sesi bergambar. 

Perlawanan dimulakan sekitar jam 3.00 petang. Sebaik perlawanan dimulakan, hujan lebat turun mencurah-curah namun perlawanan tetap diteruskan. Seluruh warga sekolah juga turut turun dan memenuhi kawasan sekitar padang untuk memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan. Perlawanan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah. Pada jam 4.15 petang perlawanan ditamatkan dengan keputusan SMKTTJ tewas dengan jaringan 1 - 6. Semua tetamu kemudiannya dijemput untuk majlis penutup dan jamuan ringan yang disediakan di dalam Balai Konferensi. Dalam majlis penutup ini, Tuan Pengetua telah menyampaikan cenderamata khas berupa gambar kedua-dua pasukan yang telah diambil diawal kedatangan pasukan ini tadi dan telah diframekan di dalam bingkai gambar yang cantik. Hasil tangan Krew Lensa ini telah berjaya membuatkan tetamu yang hadir berasa kagum dengan cenderamata yang diberikan. Tuan Pengetua juga turut menyampaikan cenderamata berupa buku nota kepada semua para pemain juga tidak ketinggalan kepada ahli keluarga pemain sebagai tanda kenangan dari warga SMKTTJ.

Seterusnya, para tetamu telah dijamu dengan jamuan ringan berupa bihun goreng, sandwich telur, donut dan air sirap. Sebelum pulang, sekali lagi sesi bergambar dijalankan untuk para pemain dan pengurusan pasukan bersama dengan semua tetamu dari Australia ini. Ternyata pertemuan yang singkat ini, telah membuka sebuah ikatan perkenalan yang sangat mesra dan erat di antara kedua-dua buah pasukan. Hampir jam 6.15 petang, barulah pasukan dari Australia ini melangkahkan kaki keluar dari SMKTTJ dengan iringan para pemain dan pengurusan pasukan hingga ke pintu pagar sekolah. Mereka dimaklumkan akan meneruskan siri perlawanan dengan pasukan dibawah program yang sama di Kuala Lumpur sebelum menyambung 2 perlawanan lagi di Singapura. 

Ucapan setinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh warga sekolah khususnya kepada Tuan Pengetua dan barisan Guru Penolong Kanan yang memberikan sokongan yang begitu kuat kepada pengurusan pasukan  sehingga dapat menguruskan majlis ini dengan baik. Juga buat Krew Lensa yang turut memberikan sumbangan merakamkan foto-foto serta menghasilkan cenderamata istimewa buat tetamu. Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi kemajuan dan pembangunan pasuka bola sepak perempuan SMKTTJ yang lebih cemerlang.

Terima kasih semua.....


















































0 ulasan: