BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 20 Mei 2012

Kejohanan FUTSAL Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan 2012 - Sempena Hari Belia Negeri Sembilan 2012

Mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan lagi prestasi permainan, barisan pemain pasukan bola sepak perempuan sekolah menubuhkan sendiri pasukan futsal bagi tujuan mengambil bahagian dalam Kejohanan Futsal Piala Menteri Besar N.Sembilan 2012 sempena Hari Belia Negeri Sembilan 2012. Kejohanan yang berlangsung pada hari Ahad ( 20.05.2012 ) ini menawarkan ganjaran kemenangan yang lumayan serta peluang mempamerkan kehebatan pasukan ini dikalangan masyarakat dari seluruh pelusuk negeri.

Membawa nama pasukan MALAYSIA GRASSROOT FC dan dibarisi oleh seramai 7 orang pemain dari SMKTTJ serta seorang lagi pemain dari Kuala Pilah, pasukan ini diletakkan dalam kumpulan D untuk menentang 3 buah pasukan lagi. Keputusan perlawanan pusingan pertama :

Malaysia Grassroot FC ( 3 ) vs Betaria FC ( 2 )
Malaysia Grassroot FC ( 3 ) vs  REM B FC ( 0 )
REM B FC menarik diri sekaligus Malaysia Grassroot FC menang
Malaysia Grassroot FC ( 1 ) vs  PPFC A ( 3 )

Pasukan ini muncul sebagai Naib Johan Kumpulan D dan seterusnya menempatkan pasukan ke dalam 8 kumpulan yang layak ke Pusingan 2 ( kalah mati ). Dalam pusingan kedua ini, keputusan terus memihak pada pasukan iaitu :

Malaysia Grassroot FC ( 3 ) vs Sayang FC ( 1 )

Pasukan Malaysia Grassroot FC seterusnya melayakkan diri ke Separuh Akhir dan bertemu pasukan Marble FC. Namun demikian, pasukan ini tewas dengan jaringan 0-1. Hasil kiraan mata pasukan ini perlu bertemu kembali dengan Johan Kumpulan D iaitu PPFC A untuk melayakkan diri ke Pusingan Akhir, namun kerana kesuntukan masa, undian secara melambung duit syiling telah dijalankan. Ternyata nasib tidak memihak kepada pasukan ini dan akhirnya mereka akur untuk menduduki tempat ke-4.

Semangat juang yang begitu kental telah ditunjukkan sepanjang kejohanan ini bermula dari jam 8.30 pagi sehingga jam 5.30 petang. Walaupun pasukan ini dibarisi oleh pelajar-pelajar sekolah yang begitu muda berbanding pasukan lain yang terdiri dari pasukan futsal yang yang hebat dan terkenal, namun mereka dapat memberikan tentangan serta mendapat sokongan padu dari para penyokong di segenap gelanggang.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Besar N. Sembilan iaitu YAB Dato' Seri Utama Mohammad Haji Hassan dan pasukan ini telah membawa pulang hadiah wang tunai RM500, medal dan sijil penyertaan. Dengan penyertaan ini, sekali lagi nama sekolah telah dikenali kerana rata-rata penonton yang hadir melahirkan rasa kagum dengan gaya pemainan yang ditunjukkan oleh para pemain ini.














Isnin, 31 Oktober 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN - PROGRAM AKAR UMBI FAM vs WESTERN AUSTRALIA

Seperti yang telah dirancang, perlawanan persahabatan bagi para pemain dari Program Akar Umbi FAM bersama dengan pemain negeri dari pasukan Western Australia ( Perth ) telah berlangsung dengan cukup meriah di padang SMKTTJ. 16 orang pemain dipilih dari Program Akar Umbi FAM dimana seramai 12 orang pemain SMKTTJ telah terpilih mewakili pasukan. Ini jelas membuktikan pasukan bola sepak perempuan kita mempunyai potensi dan bakat yang cukup besar dalam permainan ini. 4 orang pemain lagi dipilih dari 2 buah sekolah di bawah program yang sama iaitu SMK Bukit Kepayang ( 2 orang ) dan SMK Kompleks KLIA ( 2 orang )

Persiapan menanti kehadiran pasukan Pemain Negeri Bawah 15 Tahun dari Australia ini telah dilakukan lebih awal. Jadi, tidak hairanlah kehadiran mereka menjejakkan kaki ke SMKTTJ disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar dari pintu pagar sekolah. Ketibaan mereka pada jam 1.30 tengahari telah disambut di pintu masuk sekolah oleh Tuan Pengetua, Tuan Omar bin Ahmad, GPK Akademik, En. Akashah bin Ismail dan Pengurus Pasukan, Pn. Moganambal dan kemudian tetamu ini dibawa masuk ke Balai Konferensi SMKTTJ untuk sesi perkenalan dan suaikenal. 

Ternyata, wujud perasaan kagum dan teruja di kalangan pelawat ini apabila melihat sambutan meriah yang diberikan kepada mereka. Seramai hampir 30 orang tetamu yang hadir termasuk 14 orang pemain, 3 orang pengurusan pasukan manakala yang selebihnya adalah para ibu bapa dan keluarga pada pemain yang turut hadir untuk sama-sama menyaksikan perlawanan ini. Malah ahli keluarga mereka sendiri dimaklumlah dengan rela hati mengeluarkan wang sendiri bagi mengikuti pasukan ini untuk menghadapi perlawanan di Malaysia dan Singapura. Masing-masing melahirkan rasa gembira dan tidak putus-putus merakamkan gambar-gambar para pemain serta turut berkesempatan merakamkan gambar-gambar persekitaran sekolah. Setelah sesi perkenalan secara tidak rasmi dimulakan, para pemain dibawa keluar ke Dataran Cendiakawan untuk sesi bergambar. 

Perlawanan dimulakan sekitar jam 3.00 petang. Sebaik perlawanan dimulakan, hujan lebat turun mencurah-curah namun perlawanan tetap diteruskan. Seluruh warga sekolah juga turut turun dan memenuhi kawasan sekitar padang untuk memberikan sokongan kepada kedua-dua pasukan. Perlawanan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah. Pada jam 4.15 petang perlawanan ditamatkan dengan keputusan SMKTTJ tewas dengan jaringan 1 - 6. Semua tetamu kemudiannya dijemput untuk majlis penutup dan jamuan ringan yang disediakan di dalam Balai Konferensi. Dalam majlis penutup ini, Tuan Pengetua telah menyampaikan cenderamata khas berupa gambar kedua-dua pasukan yang telah diambil diawal kedatangan pasukan ini tadi dan telah diframekan di dalam bingkai gambar yang cantik. Hasil tangan Krew Lensa ini telah berjaya membuatkan tetamu yang hadir berasa kagum dengan cenderamata yang diberikan. Tuan Pengetua juga turut menyampaikan cenderamata berupa buku nota kepada semua para pemain juga tidak ketinggalan kepada ahli keluarga pemain sebagai tanda kenangan dari warga SMKTTJ.

Seterusnya, para tetamu telah dijamu dengan jamuan ringan berupa bihun goreng, sandwich telur, donut dan air sirap. Sebelum pulang, sekali lagi sesi bergambar dijalankan untuk para pemain dan pengurusan pasukan bersama dengan semua tetamu dari Australia ini. Ternyata pertemuan yang singkat ini, telah membuka sebuah ikatan perkenalan yang sangat mesra dan erat di antara kedua-dua buah pasukan. Hampir jam 6.15 petang, barulah pasukan dari Australia ini melangkahkan kaki keluar dari SMKTTJ dengan iringan para pemain dan pengurusan pasukan hingga ke pintu pagar sekolah. Mereka dimaklumkan akan meneruskan siri perlawanan dengan pasukan dibawah program yang sama di Kuala Lumpur sebelum menyambung 2 perlawanan lagi di Singapura. 

Ucapan setinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh warga sekolah khususnya kepada Tuan Pengetua dan barisan Guru Penolong Kanan yang memberikan sokongan yang begitu kuat kepada pengurusan pasukan  sehingga dapat menguruskan majlis ini dengan baik. Juga buat Krew Lensa yang turut memberikan sumbangan merakamkan foto-foto serta menghasilkan cenderamata istimewa buat tetamu. Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi kemajuan dan pembangunan pasuka bola sepak perempuan SMKTTJ yang lebih cemerlang.

Terima kasih semua.....


















































Sabtu, 22 Oktober 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN - PROGRAM AKAR UMBI FAM BULAN OKTOBER 2011

Siri perlawanan persahabatan Program Akar Umbi FAM diteruskan lagi dengan sesi perlawanan peringkat negeri bertempat di padang SMK Taman Tuanku Jaafar pada 22.10.2011 ( Sabtu ). Dengan penyertaan pasukan yang hadir bertanding pada kali ini adalah hampir 16 buah pasukan di dalam beberapa kategori iaitu Bawah 10 tahun, Bawah 12 tahun, Bawah 14 tahun dan Bawah 16 tahun. 

Perlawanan dimulakan pada jam 8.30 pagi dan tamat hampir jam 2.00 petang. Padang SMKTTJ ini sering dipilih untuk dijadikan lokasi perlawanan berdasarkan kepada kelebihan saiz padang yang kita miliki yang mana mampu memuatkan 4 buah gelanggang bola sepak. Ini membuatkan pihak penganjur dari FAM memilih untuk mengadakan perlawanan di sini kerana selain dari menjimatkan masa, ia juga dapat memudahkan pengurusan perlawanan dibuat.

Kemeriahan jelas kelihatan apabila padang SMKTTJ dipenuhi dengan pasukan-pasukan yang bertanding dari Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.  Lebih menarik, pasukan baru yang juga merupakan jiran sebelah iaitu SK Taman Tuanku Jaafar 2 turut menyertai perlawanan ini. Jelas, ia menunjukkan satu petanda baik bahawa legasi bakat-bakat muda dalam permainan bola sepak perempuan di SMKTTJ ini akan ada pewarisnya berdasarkan sokongan dan kemahiran yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda
dari SK TTJ 2.


Keputusan perlawanan :

SMKTTJ 14 vs SMK Kompleks KLIA  
1-0

SMKTTJ 14 vs SMK Vivekananda, KL
0-0

SMKTTJ 16 vs SMK Bukit Kepayang, Seremban
5 - 0

SMKTTJ 16 vs SMK Sri Aman, KL
3 - 0

Tahniah juga diucapkan kepada 12 orang pemain dari SMKTTJ yang terpilih untuk mewikili pasukan Akar Umbi FAM yang akan menentang pasukan pilihan dari Australia pada penghujung bulan Oktober ini. Semoga perlawanan yang akan dihadapi nanti akan menambahkan lagi pengalaman pemain bermain dengan pasukan yang lebih handal.