BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 23 September 2011

MAJLIS JALINAN MESRA AIDILFITRI SMK TAMAN TUANKU JAAFAR BERSAMA YB KHAIRY JAMALUDIN

Buat kali pertama, Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri  telah disambut di SMK Taman Tuanku Jaafar.. Majlis ini turut dihadiri dengan jemputan istimewa iaitu YB Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, YM Tunku Ellie Badariah bt YM Tunku Ahmad, jurulatih dari FAM, Inspektor Jusman serta masyarakat setempat.

Ketibaan YB KHairy Jamaluddin mendapat tepukan yang cukup gemuruh dari seluruh warga sekolah. Ternyata masing-masing teruja untuk melihat YB berada di depan mata. Majlis dimulakan dengan ucapan dan seterusnya acara bersalaman oleh para pelajar bersama YB dan guru-guru. Menu yang dihidangkan juga bertemakan menu hari raya seperti rendang, nasi impit, sate, soto dan kuah lontong. Sambil menikmati hidangan, seluruh warga sekolah dihiburkan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar. 

Pasukan Bola Sepak Perempuan SMKTTJ merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kehadiran tetamu ke majlis ini. Tambahan pula, kebanyakkan tetamu jemputan ini merupakan individu-individu yang tidak asing lagi dengan pasukan kami yang turut banyak memberikan sumbangan kepada kemajuan dan kejayaan pasukan kami. 

Salam Aidilfitri.....






















Khamis, 22 September 2011

TALENT ID - PENCARIAN BAKAT MUDA PEMAIN BOLA SEPAK PEREMPUAN DARI SEKOLAH RENDAH

Syukur Alhamdullillah.. satu lagi program yang dirancang oleh Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Perempuan SMKTTJ iaitu Talent ID Sekolah Rendah telah selamat disempurnakan pada hari ini. Bertempat di padang SMKTTJ, sebanyak 3 buah pasukan dari SK Taman Tuanku Jaafar 2, SK Seremban Jaya dan SK (T) Rantau hadir memberikan sokongan kepada program yang dirancang. Program yang lahir dari cetusan idea Tuan Pengetua, Tuan Omar bin Ahmad ini  bermatlamat utama untuk mencari bakat muda pemain bola sepak berusia 12 tahun ( Darjah 6 ) dari sekolah-sekolah rendah yang berdekatan bertujuan untuk diserap masuk sebagai pemain dalam pasukan bola sepak perempuan SMKTTJ.

Urusan jemputan perlawanan telah diuruskan dalam tempoh sebulan sebelum tarikh perlawanan dijadualkan berlangsung. Tarikh perlawanan pula dipilih berikutan memberi laluan kepada peperiksaan UPSR dan dengan harapan, sekolah-sekolah yang dijemput mendapat masa yang secukupnya untuk menyediakan pasukan pemain bola sepak perempuan. Daripada 6 jemputan yang diberikan, hanya 3 jemputan yang dapat dipenuhi.  Walaupun demikian, kehadiran ketiga-tiga pasukan ini cukup bermakna dan program ini dapat dijalankan dan disudahkan dengan sempurna.

Setiap pasukan yang hadir terdiri dari 11 orang pemain bersama 2 orang pengurus pasukan. Pemain dicampurkan diantara pasukan yang yang ada bertujuan untuk melihat kemahiran mereka bermain seperti menendang, mengawal dan menjaringkan gol. Penilaian dan pemilihan pemain berbakat dibuat oleh 2 orang jurulatih dari Program Akar Umbi FAM iaitu Encik Sam dan Puan Zhang. Berdasarkan perlawanan yang berlangsung, seramai 15 orang pemain telah dikenalpasti berbakat dan berpotensi dalam permainan ini.

Jutaan terima kasih ditujukan kepada semua pihak yang telah membantu memastikan perjalanan program ini lancar. Juga setinggi penghargaan buat sekolah-sekolah yang menghantar pasukan iaitu SK Taman Tuanku Jaafar 2, SK Seremban Jaya dan SK (T) Rantau yang sudi meluangkan masa menjayakan program ini.
















Pasukan Bola Sepak Perempuan dari SK Seremban Jaya



Pasukan Bola Sepak Perempuan dari SK ( T ) Rantau




Pasukan Bola Sepak Perempuan dari SK Taman Tuanku Jaafar 2






Sabtu, 17 September 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN - SMKTTJ MENJADI TUAN RUMAH

Buat kali pertama, Padang SMK Taman Tuanku Jaafar telah dipilih untuk menjadi lokasi bagi perlawanan persahabatan bola sepak perempuan Projek Akar Umbi FAM. Dengan mengumpulkan pasukan-pasukan di bawah Projek Akar Umbi FAM iaitu SMK Taman Tuanku Jaafar, SMK Bukit Kepayang, SMK Seremban 2 dan SMK Kompleks KLIA, perlawanan kali ini turut disertai oleh beberapa orang pemain yang mewakili pasukan dari Kuala Lumpur iaitu SMK Vivekananda, Brickfields, SMK Subang Jaya dan SMK Bukit Bandaraya. Lebih meriah, perlawanan ini turut disertai pasukan bola sepak perempuan dari sekolah rendah di bawah projek yang sama. Perancangan awal bagi perlawanan ini adalah untuk mengumpulkan sebanyak 17 pasukan Bawah 16 tahun, 14 tahun dan 12 tahun dari seluruh Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur namun akibat beberapa kekangan, hanya lebih kurang 10 pasukan yang dapat hadir untuk menyertai perlawanan.

Buat kali pertama juga, pasukan bola sepak perempuan dari SMKTTJ telah dibahagikan kepada 2 pasukan iaitu bawah 16 tahun dan 14 tahun. Terdapat juga pertambahan bilangan pemain baru yang mengisi barisan pemain dalam pasukan SMKTTJ. Ini merupakan perubahan baru yang dilakukan oleh pihak jurulatih pasukan untuk menubuhkan 2 buah pasukan. Walaupun ada awalnya, pemain-pemain merasa tertekan dan kurang selesa dengan posisi baru, namun masing-masing berusaha untuk mempamerkan aksi dan prestasi yang terbaik di tengah padang.

Perlawanan kali ini turut dihadiri oleh Tuan Pengetua, Tuan Omar bin Ahmad dan GPK Kokurikulum Pn Hjh Zainab bt Mohd Nasir yang datang untuk memberi sokongan moral kepada barisan pemain. Juga kehadiran YM Tunku Ellie Badariah bt YM Tunku Ahmad, Naib Presiden Bola Sepak Wanita Malaysia telah menggembirakan para pemain kerana beliau tidak putus-putus memberi sokongan dan galakan. Malah beliau sendiri memberikan pelbagai idea dan cadangan bagi terus meningkatkan pencapaian dan penglibatan pemain sehingga ke peringkat yang tertinggi.

Keputusan Perlawanan :

SMKTTJ Bawah 14    0  vs  0     SMK Kompleks KLIA + SMK Seremban 2

SMKTTJ Bawah 16    1  vs  0  SMK Bukit Kepayang + KL

SMKTTJ Bawah 14   0  vs  1   SMK Bukit Kepayang + KL

SMKTTJ Bawah 16   0  vs  0  SMK Bukit Kepayang + KL


Pasukan SMKTTJ telah memberikan persaingan yang hebat kepada pasukan lawan dan sudah semestinya setiap pemain berusaha untuk bermain dengan bersungguh-sungguh. Walaupun terdapat pemain yang cedera, namun semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan oleh mereka untuk terus bermain bersama-sama rakan sepasukan.



Jersi Biru  :  Pasukan Bawah 16 tahun



Jersi Merah  :  Pasukan Bawah 14 tahun



















Terima kasih juga buat para pemain yang sama-sama turun padang padi hari cuti umum - Hari Malaysia ( 16.09.2011 ) untuk sama-sama membuat persediaan sebelum perlawanan seperti membuat garisan gelanggang, mencabut duri semalu, memasang khemah dan menyediakan kerusi untuk tetamu dari luar.